Latar belakang Pencerobohan Turki ke atas Cyprus

Demonstrasi di Cyprus yang mendesak penyatuan dengan Greece (Enosis) pada 1930-an.

Kedudukan Cyprus yang strategik telah memperlihatkan banyak serangan dilancarkan sepanjang sejarahnya di mana Yunani, Rom, Arab, Frank serta Turki semua berebut ingin menguasainya. Cyprus merupakan sebuah pulau strategik yang terletak di Laut Mediterranean didiami oleh kaum majoriti Yunani dan terdapat juga minoriti penduduk Turki. Cyprus telah diperintah oleh Empayar Uthmaniyah sejak tahun 1571 sehingga tahun 1878 apabila Britain mengambil alih pulau tersebut sebelum mengilhaknya secara rasmi pada tahun 1914. Cyprus berada di bawah pemerintahan British sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1960. Walau bagaimanapun, proses kemerdekaan Cyprus dilihat bukan satu proses yang mudah.

Komuniti Yunani dan Turki di Cyprus mempunyai perbezaan pendapat dan rancangan terhadap pulau itu di mana British terpaksa mencari jalan penyelesaian yang boleh memuaskan kedua-dua belah pihak. Penduduk Yunani Cyprus meminta penyatuan dengan Greece, atau dikenali sebagai Enosis. Komuniti ini dinaungi oleh EOKA, sebuah pertubuhan yang berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada Britain dan kemudiannya berhasrat untuk bergabung dengan Greece. Penduduk Turki Cyprus pula meminta untuk pembahagian Cyprus antara Greece dan Turki, yang disebut sebagai Taksim.[26][petikan diperlukan] Pertubuhan komuniti Turki Cyprus yang paling terkemuka ialah TMT.

Pertikaian rusuhan Yunani dan Turki di Cyprus sering terjadi pada tempoh antara 1950-an dan 1970-an. Perlembagaan Cyprus yang disahkan oleh Persetujuan London dan Zürich antara Turki, Greece dan United Kingdom tidak berjaya membawa keamanan kepada Cyprus. Berdasarkan perlembagaan tersebut, Presiden Cyprus harus orang Yunani yang dipilih oleh komuniti Yunani dan naib presiden pula ialah orang Turki yang dipilih oleh komuniti Turki. Kedua-dua jawatan tersebut mempunyai kuasa veto. Sebanyak 30 peratus daripada kabinet menteri dan pegawai rasmi merupakan orang Turki dan kedua-dua komuniti tersebut mempunyai kuasa autonomi tinggi dari satu sama lain.[27] Tentera Turki, Greece dan British mempunyai markas tentera masing-masing di pulau itu dan menjadi penjamin kemerdekaan Cyprus.

Komuniti Yunani Cyprus tidak berpuas hati dengan kelebihan yang diperoleh penduduk Turki Cyprus sehingga menyebabkan beberapa siri rusuhan meletus pada 1960-an. Pada tahun 1963, rusuhan yang berlaku menyebabkan kematian 364 penduduk Turki dan 174 orang Yunani Cyprus,[28] kemusnahan 109 perkampungan Turki Cyprus atau perkampungan lain serta perpindahan 25,000-30,000 orang Turki Cyprus.[29] Pada masa yang sama, Cyprus berada di ambang serangan Turki untuk melindungi penduduk Turki di sana tetapi campur tangan diplomatik Amerika Syarikat serta rundingan secara langsung antara Turki dan Greece sedikit sebanyak meredakan ketegangan yang berlaku.[30]

Peta taburan etnik di Cyprus hasil bancian pada tahun 1960.

Pada tahun 1974, kepimpinan Yunani Cyprus di bawah Makarios telah mengurangkan keperluan dasar Enosis. Namun, Greece yang diperintah junta tentera telah menyemarakkan Enosis dan bekerjasama dengan EOKA yang pro-Enosis. Pada tahun 1974, kerajaan Makarios telah digulingkan oleh Pengawal Kebangsaan Cyprus yang diketuai oleh pegawai Yunani.[31] Nikos Sampson yang merupakan seorang penyokong kuat Enosis dan anggota EOKA anti-Turki, telah diisytiharkan sebagai presiden.[32] Turki kemudiannya membentangkan desakan mereka kepada Greece melalui perunding AS. Desakan tersebut termasuklah perletakan jawatan segera Nikos Sampson, pemecatan 650 pegawai Yunani daripada Pengawal Kebangsaan Cyprus, kebenaran kepada tentera Turki untuk melindungi populasinya, hak kesamarataan kepada kedua-dua komuniti serta akses ke laut di perairan utara bagi komuniti Turki Cyprus.[33] Mereka juga mendesak Britain untuk menjamin dasar neutral Cyprus sebagai salah satu penjamin. Namun, Britain menolaknya sekali gus Turki memulakan rancangannya untuk menyerang Cyprus.[34]

Pada masa itu, seramai 117,000 orang Turki tinggal di pulau itu terutamanya di enklaf Nicosia, Famagusta, Larnaka dan Limassol. Komuniti Turki Cyprus memiliki 10,000 hingga 13,000 orang yang berkhidmat sebagai tentera dan mampu memobilisasi sehingga 20,000 orang tentera. Mereka berjaya menguasai lebuhraya Nicosia - Kyrenia yang strategik untuk menyukarkan komunikasi Yunani Cyprus yang menghuni bahagian utara pulau. Tentera Yunani Cyprus yang utama ialah Pengawal Kebangsaan yang dipimpin oleh pegawai Yunani serta mempunyai 12,000 orang tentera dan 32 buah kereta kebal. Tentera mereka berpotensi untuk dimobilisasi sehingga 40,000 tentera. EOKA pula memiliki 5,000 tentera dan rejimen elit Yunani, ELDYK mempunyai 1,200 tentera.

Rujukan

WikiPedia: Pencerobohan Turki ke atas Cyprus http://www.mfa.gov.cy/mfa/embassies/embassy_brusse... http://www.mfa.gov.cy/mfa/mfa2006.nsf/All/8FA6CC01... http://www.moi.gov.cy/moi/pio/pio.nsf/0/5CFDB55E72... http://bookshop.europa.eu/en/euromosaic-iii-pbNC74... http://www.eldyk74.gr/index.php?option=com_content... http://www.cmp-cyprus.org/media/attachments/Quick%... https://books.google.com/books?ei=EMbjTcnNDs_z-gbg... https://books.google.com/books?id=5XATV852SyIC&pg=... https://books.google.com/books?id=7MXPOz95A_IC https://books.google.com/books?id=Dh6jydKXikoC&pg=...